Aku harap dirimu sihat sejahtera, berasa bahagia dengan apa adanya dirimu ketika ini. Malah aku sentiasa berharap dan mendoakan kebahagianmu di dunia hingga akhirat kelak. Kerana kau temanku, hanya itu yang sentiasa aku harapkan. Hanya itu yang sentiasa aku pohonkan kepada Maha Pencipta.
Teman…
Sama ada aku sedar atau tidak, mahu atau tidak menerima hakikat kini kau sudah berubah. Sudah memiliki kehidupan sendiri, sudah ada impian dihati, sudah ada ambisi tentang hidup dan kehidupan yang seterusnya. Aku sebenarnya cukup kesal atas apa yang berlaku, yang membuat kita tak dapat mengulangi detik-detik indah bersama. Takdir yang ‘memisahkan’ kita ini suatu hakikat dan harus diterima sepahit mana pun rasanya, sepedih mana pun sembilunya menghiris.
Aku bagai menjadi orang asing, mencari siapa diri kemudian cuba mencari di mana tempat aku seharusnya berada. Di mana aku di dalam hatimu, wahai teman?
Aku sesat dalam pencarian ini...
Teman…
Aku hanya mempunyai kenangan lampau bersamamu. Aku fikir kenangan-kenangan itu mampu menjadi modal untuk aku raih kenangan manis bersamamu. Namun, hakikatnya tak begitu. Kenangan itu hanya melekat dihatiku, dan tidak dihatimu. Malah, aku tahu kau hampir langsung tidak menyimpan kenangan-kenangan bersamaku. Segalanya bagaikan lenyap bersama angin perubahanmu. Apalah dayaku… aku tak punya kuasa apa-apa untuk mengembalikan segala kenangan itu. Mungkin juga kau tidak berminat untuk menyimpan kembali memori yang hilang itu. Kau mungkin lebih suka dengan memori-memori baru yang sedang kau ciptakan.
Apa yang cukup-cukup aku takutkan suatu masa dahulu, rupanya mejadi kenyataan. Dahulu aku merasakan akan kehilangan kau walau hakikatnya jarak kita tak sejauh mana pun. Aku cuba terus yakinkan diri bahawa kau akan sentiasa ada, sebagaimana aku meyakinkan kau bahawa “saya akan sentiasa ada untuk awak”. Namun masa merubah segalanya, sekaligus mengikis sedikit demi sedikit kewujudanku di matamu. Aku sedar dan dapat melihat dengan nyata hakisan-hakisan itu. Dan, hari ini aku memang telah benar-benar yakin bahawa aku telah ‘hilang’ dari pandangan juga kehidupanmu. Ada rasa ‘dendam’ di benakmu yang membuat kau ‘membuang’ segala kenangan. Rasa amarah, rasa tidak puas hati itu menjadikan kau semakin terlepas dari dakapanku.
Aku tak tahu kenapa kau begitu? Kau hanya melakukan sesuatu atas perintah naluri, atas desakan perasaan. Bujukan-bujukan ketidakpuashatian itu akhirnya merosakkan dan memusnahkan segalanya. Bagai kaca terhempas ke batu… berkecai! Hatiku remuk menahan rempuhan-rempuhan dendammu. Kata-katamu menjadi belati yang menikam-nikam dan menghancurlumatkan seluruh hati dan perasaanku… tanpa belas!! Hatiku menangis teman…tapi adakah kausedarinya? Tidak!! Kerana kau tidak pernah peduli apa yang kurasa…
Teman…
Apa yang dapat aku lakukan untuk menebus kesilapan dan kealpaan lampau adalah mengikut ke mana saja rentakmu. Namun, rupanya hal itu juga tak mampu meraih kembali kau ke sisiku. Lalu, apa mahumu, wahai temanku?
Sampai bilakah dendammu akan berakhir? Dendam itu hanya merosak ikatan yang telah tersedia terjalin. Kau menjadikan kesilapan-kesilapanku pada masa lalu sebagai alasan untuk melakukan apa saja tindakan – Mungkin kau puas bila melihat aku terluka… Dengan itu akhirnya kau telah menjadi ‘seronok’ dan ‘suka’ dengan perbuatan-perbuatan itu. Kau tetap begitu sedangkan pada hakikatnya bagiku itu hanya sekadar alasan untuk menutupi salahmu yang kau sendiri tahu.
Duhai temanku…
Hanya ini yang dapat aku titipkan buatmu. Mudah-mudahan kau membacanya, memahaminya dan berfikirlah serta cari apa yang kau mahukan dalam hidup dan kehidupan ini. Pada sisa-sisa masa yang ada, dalam keadaan serba kekurangan ini aku bukan berputus asa atau berhenti untuk menyayangi dirimu. Aku cuma berasa perlu untuk aku berlalu pergi agar tiada kesakitan yang amat sangat akan aku rasai lagi... Dan juga agar api dingin tak semakin memarak dan membekukan kita dalam luapannya.
Satu perkara yang kau tak akan dapat nafikan dan memang dapat kau rasakan bahawa aku tetap sayangkan kau sebagai temanku, dunia akhirat. Sedari dulu, aku tahu kau membakar aku dengan api kebencianmu, tetapi aku tetap datang untuk cuba memadamkannya… Aku tahu bahawa kau juga tahu semua itu. Namun, apa yang tinggal kini hanyalah kenangan tanpa memorinya, bayangan tanpa imejnya dan… kasih tanpa sayangnya! Semoga kau berbahagia selalu…
Salam kasih sayang untukmu…
Dariku…
~ Putera Leo ~
Wassalam.
Wassalam.
Wahai... :'(
ReplyDeletekenapa? huhuhu... :'(
Delete