lagu

Monday, October 10, 2011

''Sesungguhnya aku semakin bosan..Berada di ruang kamar sepi ini..Tapi,ke manakah akan kucari ruang lain..Yang akan membawa langkahku..Untuk menghilangkan dan menghindari..Segala kerinduan dan keresahan..Yang semakin menekan dan mencengkam ini..Melainkan aku terpaksa terus di sini..Dengan nyanyi puisi yang tak berirama..''


Sunday, October 9, 2011

*SAHABAT*

Kaunampakkah
Titi silaturahim
Di hujung jabat tangan ini
Runtuh semena-mena
Dan aku menggaru kepala
Kesulitan mentafsir
Makna sebuah keterasingan
Yang tiba-tiba
Menjarakkan persahabatan…



*PASRAH*

Apabila malam melabuhkan tirai
Dan bulan menjenguk di balik awan
Aku teringat kisah suka duka
Bersama kenangan silam
Yang masih segar bagai embun pagi.

Pengalaman yang mengajar
Erti kehidupan dan penderitaan
Masih di kolam hati
Yang sudah lama terkunci.

Bilakah siang akan terserlah kembali
Dan pelangi kehidupan
Menghiasi perjalanan ini
Dan adakah lorong sempit yang berliku ini
Akan terbentang menjadi padang perjalanan
Tenang tenteram dalam pasrah…




*NASIB DIRIKU*

Dalam keheningan malam…
Kesepian hanyut
Dibawa arus
Cintamu
Sayang!

Rindu
Tak terdayung
Di seberang ingatan
Bersama karang kenangan
Yang mengingati luka.

Antara kita…
Akukah yang terpisah
Jauh.



*TUGU CINTA*

Seperti pasir-pasir pantai
Sengsara
Menangkis ombak-ombak laut yang kejam
Begitu aku
Walau godaan demi godaan mendatang
Walau ribut taufan melanda
Namun aku…
Seperti tugu-tugu batu di pantai itu
Hatiku tetap begitu
Teguh setia
Mempertahankan tugu cinta yang kita bina…



*MENJEJAK CINTA*

Aku pengembara
Bersama keinginan
Begitu lama kupendam harapan
Hampir kecewa dimamah putus asa
Untuk mendaki segunung erti
Jatuh impianku di lembah duka
Sesat aku di rimba kehampaan
Calar hatiku dicucuk duri halangan
Luka jiwaku dicakar cabaran
Menangislah diri.

Aku terus berenang di laut khayalan
Dipukul badai penantian
Lemas dalam arus mencapai cita
Terkapar-kapar mencari daratan
Melabuhkan hati yang gagal
Jadilah aku pemburu cinta
Entah bila akhirnya…
“Teman…
Izinkan kupahat namamu di dada malam ini
Sekalung doa dan segugus restu
Adalah buat seraut wajahmu
Daripada seuntai madah puisiku
Biarlah angin malam yang lembut ini
Mengusap rambutmu
Tanda kasihku padamu.
Tuhanku…
Kepada-MU segalanya terserah…”

“Perjalanan ini…
Bagai kembara di lorong sepi
Angin malam menggugurkan daunan waktu
Rindu pun bertebaran di hujung mimpi
Betapa…
Setiap kalinya bicara ini berlabuh
Air mata bukan lagi satu perhitungan…”
“Demikian waktu berlalu
Menghanyutkan rinduku kian jauh
Ke pintu senja
Demikian pula
Cinta sentiasa datang
Dan pergi
Mewarnai hidupku
Menjadi sebuah pelangi.


Dan engkau menjadikan aku
Lebih mengerti
Wajah yang senyum padaku
Hari ini
Belum tentu akan tersenyum
Esok pagi…”


“Di sebalik kesepian itu…
Terungkap memori lalu
Terselit secebis kerinduan
Tersimpan sekelumit kekeliruan…”

“Betapalah diketika ini…
Untuk pertama kalinya
Aku belajar menghargai
Segala ketulusan yang kauberi
Dan betapalah dihatiku ini…
Aku takut menghadapi hidup
Tanpa dirimu…”
“Waktu-waktuku…
Terapung dalam mimpi
Hanyut dalam sepi
Terpenjara oleh mabukrindu
Terkulai oleh resahharu…”
“Semalam yang kita lalui menjadi kenangan
Bilamana api rindu telah kaupadamkan
Di sini…
Di ruang sepi ini…
Tidak ada api cinta di dada bakal menyala
Kerana ia telah terpadam sampai bila-bila…”

“Aku sebenarnya masih tenggelam
Dalam mencari erti ketenangan
Cuba menyelami erti kedewasaan
Cuba bertindak mengikut kematangan
Namun terendap dalam khayalan.

Telah lama aku menyepi
Lemas dalam kesengsaraan
Hanyut dalam kepasrahan
Tersadai di pinggiran keresahan…”
“Tak siapa simpati
Hanya sang mentari
Menunduk kesal
Hanya si purnama
Menangisi,meratapi nasibku
Hanya kerdipan bintang
Menyesali hidupku.

Terdetik dihati,
Inginku tanya padamu
Apa salahku
Hingga sanggup kau…
Lukakan aku….”

*HANYUT DI ARUS SEPI*

Aku bagaikan kertas usang
Dihembus angin barat
Terbang melayang
Mencari seribu pengertian
Tanpa nokhtah.

Aku terapung
Di awang-awangan
Di antara langit dan bumi
Hanya angin membawa diriku
Ke tengah dan ke tepi
Hingga aku lemas sendiri
Di arus sepi…

*DI SINI AKU*

Di sini…
Di daerah ini
Aku mencari
Erti sebuah cinta
Yang telah pergi

Di sini…
Di ruang ini
Aku mengenali
Erti kasih di antara teman
Erti sayang di antara kawan
Di dalam kepuraan.

Di sini…
Di daerah sepi ini
Aku sendiri dan lantas memahami
Erti kasih sejati
Erti sayang abadi
Yang hilang
Entah
Pergi
Ke mana.

Dan di sini…
Di kejauhan ini
Aku masih mencari
Cintaku sendiri…

*MENGAPAKAH*

Seringkali…
Berlegar pertanyaan di sudut hati
Mengapakah hati diragut resah
Bila wajahmu…hilang di mata
Bila bicaramu…sepi sekian lama
Mengapakah perasaanku sebegini
Inikah yang dikatakan
Rindu padamu…?


Seringkali…
Aku dimamah sepi
Kerna kejauhan yang memisahkan
Sedetik ianya akan hilang
Bila warkah itu kautitipkan
Penawar segala rindu
Kesetiaan yang terucap
Begitu menyakinkan
Tapi mengapakah aku dihimpit ragu
Bila kaujauh di sana
Itukah tandanya…
Aku semakin sayang padamu…?

Tetapi sesungguhnya…
Aku terlalu bahagia
Mengenalimu adalah yang terindah
Teguhkanlah kepercayaanmu
Agar kesetiaan yang dibina
Itu tetap teguh
Agar kemesraan itu
Mengharum di laman hati
Dan mengapakah harus
Disangsikan lagi
Kerana aku…
Masih setia di sini…


*TITIS-TITIS HUJAN*

Hujan semalam
Memautkan rinduku
Dalam sepi malam.

Titis-titis hujan
Menggerimis kenangan
Di senja berwarna jingga.

Mentari merah
Meratap senja duka
Rebahnya seorang pencinta.

Malam syahdu
Titis-titis hujan di atap
Mengentalkan rindu untukmu…