lagu

Friday, May 31, 2013

CERPEN : Kembali Bertaut

Nazim menelentang di katilnya. Dia mengenang akan pemergian isterinya yang membawa diri. Kedegilannya yang tidak mahu berganjak daripada keputusan yang diambil menjadikan dia seorang perindu. Benarlah kata orang perpisahan mengajar makna kesetiaan. Dia sedar isterinya telah banyak bersabar dengan kerenahnya saban hari. Isterinya telah banyak berkorban untuk kesenangan mereka berdua. Namun saat itu ingatannya hanya tertumpu pada setiausaha genit di pejabatnya, Syahdah.

“Abang, esok kita balik rumah mak Jasmin. Tadi Abah telefon, katanya Mak sakit kuat.”

Selesai makan malam Jasmin meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Dipandang wajah Nazim yang seolah-olah khusyuk membaca majalah. Nazim langsung tidak mengendah akan apa yang diucapnya. Biarlah hatinya menahan jengkel, ditahan juga rasa hati memandangkan statusnya sebagai seorang isteri.

“Abang dengar ke idak apa yang Min cakap?”

Jasmin kembali menyoal apabila Nazim hanya membantu. Sakit hati Jasmin melihat perlakuan kaku Nazim.

“Abang dengar. Abang belum pekak tau. Awak sorang je la yang pergi. Abang ada mesyuarat penting esok.”

Nazim pantas menolak cadangan isterinya. Suara Nazim kedengaran agak kasar. Perasaannya juga telah terbang ke ribaan Syahdah. Hanya jasad bersama Jasmin namun pemikirannya tertumpu pada perawan hatinya terbaru, Syahdah.

“Abang nak keluar.”

Akhirnya itu yang terbit dari mulut Nazim. Itulah rutin Nazim sejak dua bulan lalu. Jasmin tidak menghalang.

‘Ah, dia bukan tak tahu halal haram. Dosa pahala.’

Detak hati Jasmin mengiringi langah Nazim. Jasmin tidur ditemani tangisan yang panjang.

‘Sampai hati Abang lukakan perasaan Min. Min dah buat apa yang Abang nak. Apa lagi yang Abang mahukan?’

Jasmin merintih dalam tangisan. Malam itu Jasmin beroleh kekuatan. Dia bangun di sepertiga malam mengadu pada Sang Pencipta. Hanya dengan cara itu yang mampu meredakan perasaan kesalnya dengan perubahan Nazim. Jasmin berdoa agar suatu hari Nazim akan tersedar akan perbuatannya.


***

Setelah tiga hari pemergian Jasmin, panggilan telefon di awal pagi itu mengganggu tidur Nazim.

“Hei, sapa pula kacau aku aku pagi-pagi ni. Mesti si Jasmin. Apa lagi yang dia nak.”

Nazim mengomel sambil mencapai telefon bimbitnya.

“Encik Nazim, sekarang Puan Jasmin ada dalam genggaman kami. Jika Encik Nazim mahukan Puan Jasmin selamat, serah kan wang berjumlah RM10,000 kepada kami. Masa dan tempat pertemuan akan kami beritahu kemudian. Dan amaran pada kau, jangan sekali-kali hubungi pihak polis. Orang-orang aku akan sentiasa mengawasi pergerakan kau. Jangan cuba larikan diri!”

Belum sempat Nazim bertanya lebih lanjut, gagang telefon dihempas kuat.

‘Tak kan le dia kena culik.setahu aku dia merajuk aje. Aku ingat mesti le dia balik rumah Mak dia. Apa aku nak buat sekarang? Macam filemlah pula. ’

Nazim mula tidak keruan. Sekejap duduk, kemudian berdiri. Bosan, dia menjengah ke luar.

‘Mana aku nak cekau duit RM10,000. Banyak tu. Apa diorang nak dari aku?’

Pemikirannya diserabuti pelbagai persoalan tak diundang. Nazim terpaksa mengakui hatinya masih mencintai Jasmin. Cuma keegoannya mengatasi perasaan itu. Tambahan pula sekarang wajah Syahdah sering bermain di tubir matanya. Jasmin adalah cinta pertamanya walaupun jodoh mereka ditentukan oleh keluarga yang kebetulan adalah bersahabat.

‘Apa kata aku telefon polis.’

Tiba-tiba akalnya mencadangkan begitu.

‘Tak boleh… nanti Silap-silap nyawa Jasmin melayang. Aku juga kempunan.’

‘Jangan jangan…’

Pelbagai andaian dibuat bagi mencari jalan penyelesaian.


***

“Nazim, why? I tengok You muram je sehari dua ni. Ada masalah ke? Cerita la mana tahu I boleh bantu ringankan beban yang You tanggung.”

“Don’t worry, Syahdah. I’m okey. Cuma penat je. Kerja banyak yang belum beres. Itu yang nak senyum pun susah.”

Nazim cuba mengembalikan senyuman di wajah Syahdah yang mula mendung. Dia tersenyum manis.

“Kalau macam tu lepas kerja kita jalan-jalan. Lagipun dah lama kita tak keluar sama.”

Tatkala bersama Syahdah, lenyaplah segala masalah yang menimpanya kebelakangan ini. Dia amat gembira mendampingi wanita cantik itu. Ditambah pula jiwanya kosong setelah ketiadaan Jasmin. Tuhan telah berfirman dalam Kalamnya, saat insan berdua-duaaan, pasti ada yang ketiga. Itulah syaitan, yang mana tugasnya adalah mengganggu-gugat hidup anak-anak Adam agar tidak berada di landasan yang benar.

Syaitan bersorak gembira tatkala Nazim membelokkan kereta menuju apartmen sewaanya lewat sore itu. Syahdah di sisi erat mengekori. Malahan tangannya tidak dilepaskan daripada genggaman Nazim. Mereka sama-sama menuju ke balkoni untuk menyaksikan matahari terbenam di ufuk barat.

Malam itu mereka menghabiskan masa dengan menyaksikan sebuah filem Inggeris. Kebetulan cerita yang ditayangkan mengisahkan penderitaan seorang lelaki setelah ditinggalkan oleh isteri kerana mengikut kekasih lamanya. Nazim seolah tersentak dari lena apabila hatinya tedetik, Apa Jasmin sedang buat sekarang?’

‘Makankah atau dia hanya dibiarkan berlapar.’ Keputusan lantas diambil.

“ Kita balik, Syahdah. I penat le. Nak rehat kat rumah.”

“Inikan rumah You. I boleh jagakan You. Atau teringat isteri di rumah. Lagipun malam masih muda.”

“Tak nak balik duduk sini ye, Syahdah. Aku nak balik. Panas rumah ni.”

Syahdah terpaksa mengikut rentak Nazim. Dia dapat merasakan bahawa hubungan mereka akan tiba ke titik akhir.

Saat kewarasan kembali bertapak, Syaitan tersungkur. Rebah. Selesai menghantar Syahdah ke rumah sewaanynya, Nazim memecut keretanya untuk segera sampai ke kediamannya. Cepat-cepat dia menyucikan diri lalu menghamparkan sejadah.

‘Aku berdosa, Ya Allah. Masih terbukakah pintu taubat buat hamba-Mu ini. Aku bersyukur, Ya Allah. Kau sedar aku tika aku belum terlanjur. Kau bebaskanlah aku dari segala bebanan ini. Dari segala dosa yang melingkari kehidupan ini.’

Nazim bermunajat panjang malam itu. Segala kebaikan Jasmin selama ini terlayar di pandangannya hingga air matanya menitis keharuan.

‘Mulianya hatimu, Jasmin. Cuma aku yang buta menilai kaca dan intan.’

Nazim menanti kalau-kalau ada panggilan telefon. Hatinya dipagut bimbang memikirkan keselamatan Jasmin. Akhirnya Nazim terlena di sofa setelah penat menanti.

“Mana Jasmin? Sampai hati kau tinggalkan seorang diri di rumah.” Pertanyaan itu menerpa pendengarannya apa Nazim tiba di halaman rumah keluarganya pagi itu.

“Mak, sabar dulu. Mak bawa bertenang. Mak lupa ke hari ini hari apa. Selasa. Jasmin kan cikgu, dia mengajar le pagi ni. Nanti bila Jasmin cuti kami datang le bersama.” Cepat sahaja mulutnya menabur janji yang entah tertunai atau tidak.

“Betul juga. Aku lupa.”


***

Nazim berusaha menjejaki Jasmin.

‘Di mana nak mula?’

Bersama fikiran yang masih bercelaru, Nazim membelokkan kereta ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Piatu. Namun kehampaan yang bertamu.

“Jasmin memohon cuti seminggu. Lagipun aku tengok di macam kurang sihat. Katanya kamu nak bawa dia pergi bercuti.”

Demikian jawapan yang diperoleh daripada Cikgu Zarina, kawan Jasmin.

Tidak tahu ke mana hendak dituju, Nazim menghalakan kereta ke rumah bapa mertuanya yang terletak berhampiran sekadar untuk melepaskan lelah memandu seharian.

“Ha, Nazim. Naiklah. Kamu balik seorang saja. Mana isteri kamu?”

“Er… Saya singgah aje. Kebetulan ada kerja di kawasan ni.”

“Oh…”

Usai menunaikan solat Zohor, Nazim memohon untuk berundur. Masih banyak perkara yang perlu diselesaikan. Sempat batinnya berbisik,

‘Ayah, aku tak akan sia-siakan hidup anakmu.’

Sambil memandu, Nazim menjeling telefon bimbitnya jika ada panggilan masuk. Hampa. Hanya pesanan Syahdah memintanya untuk menghubungi.


***


“Abang tak akan sia-siakan Min. Min adalah cinta Abang yang awal dan terakhir. Walaupun kita adalah ketentuan keluarga, Abang gembira. Isteri Abang cantik, bergaya…” Terngiang-ngiang akan janji yang dilafazkannya pada malam pertama perkahwinan mereka. Dia bertuah memiliki Jasmin lantaran apa yang ada pada isterinya memenuhi ciri-ciri wanita idamannya.

Namun segalanya berubah setelah kehadiran Syahdah di pejabatnya. Syahdah menjadi batu penghalang terhadap hubungannya dan Jasmin. Nazim sendiri tidak pasti apa kelebihan Syahdah sehingga dia sendiri mengabaikan Jasmin. Kasih Allah masih ada untuknya. Kehilangan Jasmin menimbulkan keinsafan pada dirinya.

Nazim mula membuat perbandingan antara isterinya dan Syahdah. ‘Masya Allah. Terlalu besar jurangnya. Seorang isteri yang taat dan seorang wanita yang menggoda.’ Kesimpulan tercetus di minda Nazim.
Penantiannya berakhir. Dia sudah bersiap sedia ketika telefonnya berdering.

“Kau datang Hotel Equatorial Melaka, cari bilik bernombor 909. Pukul 12.00 tengah malam. Kalau lambat, isteri kau adalah habuan aku. Ingat, RM10,000.”

Panggilan itu membantutkan hasratnya untuk tidur. Dia mencapai sebuah album di meja sisi di tepi katilnya, Album perkahwinan mereka.

“Min gembira Abang boleh terima Min walaupun Min adalah pilihan keluarga. Min akan jadi isteri terbaik untuk Abang. Percayalah.”

Itulah yang dilakukan Jasmin. Tidak seperti dirinya yang telah mengingkari janji yang lisannya sendiri melafazkan. Betapa dirinya lemah untuk melawan hasutan syaitan yang mengganggu.

Nazim berusaha untuk memperoleh kekuatan jiwa melalui Solat Hajat untuk keselamatan Jasmin. Tidak lupa dia menitipkan doa agar dirinya diberi kekuatan untuk menemui penculik isterinya malam esok. Terasa ingin dia bertolak ke Melaka pada malam itu juga namun hari sudah terlalu lewat. Ditahan gelodak di jiwa.


***


Lewat tengahari 14 Mei, nazim menghidupkan enjin keretanya untuk mrnuju ke Hotel Equqtorial. Sekeping cek turut disertakan bersama seperti yang diminta oleh pemanggil misteri yang menghubungiuya. Rasanya tidak selamat jika dia membawa wang sebanyak itu untuk perjalanan yang agak jauh.

Sementara itu Jasmin tidak senang duduk di bilik penginapannya di Hotel Equatorial Melaka. ‘Apa reaksi Nazim?’ dia bertanya pada dirinya. ‘Tak perlu risau. Kan Abang Lan kata dia sudah bertaubat.’ Jasmin memujuk diri sendiri.

Mahu atau tidak detik 12.00 tengah malam tetap tiba. Debaran menguasai diri kedua –dua mereka. Nazim yang sudah menanti sejak sejam yang lalu menekan loceng sambil hatinya berbicara. ‘Culik orang pun bawa ke hotel. Pelik. Tak pernah dibuat dek orang.’ Walau keraguan sesekali menjentik fikiran, segalanya perlu diteruskan untuk keselamatan Isterinya.

Setelah tiada reaksi apabila loceng dibunyikan, Nazim mengetuk pintu. ‘Tok ! Tok! Tok’ Ketukan di pintu sebanyak tiga kali mengejutkan Jasmin yang sedang berdandan.

Setelah membetulkan apa yang patut, Jasmin segera menghampiri pintu.

“Min?”

Nazim terkejut amat melihat penampilan isterinya malam itu. Sungguh anggun dan elegan.

“Bukankah…”

Belum sempat Nazim menyambung bicara, cepat-cepat Jasmin menarik tangan Nazim ke dalam biliknya.

“Abang duduk dulu.”

“Min tahu apa Abang buat sepanjang ketiadaan Min. Min yang rancang semua ni untuk menyedarkan Abang tanpa melukakan perasaan Abang. Maafkan Min, Abang.”

“Min tak bersalah. Maafkan Abang kerana memungkiri janji Abang. Abang sedar sebenarnya dalam hati ini hanya ada Min seorang. Bukan orang lain.”

“Abang tak nak tengok ke siapa penculik yang menelefon Abang?”

“Kau?”

Nazim terperanjat apabila mendapati Abang Iparnya, Roslan ada di situ.

“Abang lakukan semua ini untuk adik Abang.”

Nazim mencapai tangan Jasmin.

“Terima kasih Min kerana masih menyayangi diri ini walaupun Abang sudah melakukan kesalahan yang besar terhadap Min.” Ucap Nazim setelah Roslan keluar daripada bilik itu.

“Min Cuma tak mahu kasih kita terputus dan Min terlalu menyayangi Abang. Semua ini untuk mengembalikan kasih Abang yang pudar suatu ketika dahulu.”

Malam yang bahagia buat suami isteri itu sejak dua bulan yang kebelakangan ini. Tambahan pula apabila Jasmin memberitahu zuriatnya akan lahir tujuh bulan lagi. Kebahagiaan begitu bersinar hingga tanpa disedari mutiara jernih mengalir di pipi Nazim. Dan malam yang bahagia itu dilayari bersama diiringi setangkai doa. Moga kasih yang bertaut tidak akan gugur buat selamanya.

CERPEN : Rindu Itu Tidak Mati

Hujan renyai-renyai tadi mula galak. Imtiyaz membiarkan jendela kamar terbuka luas hinggakan deraian hujan yang menggila mula membasahi ruang kamarnya. Imtiyaz tidak peduli. Hujan di luar belum mati. Sedang hujan dalam diri makin lebat. Lama perasaan hilang. Hari ini angin rindu menyapa dalam deraian hujan di luar.

Imtiyaz kesat mata yang basah.

Imtiyaz rindukan ayah. Ayah yang sudah menyahut panggilan Ilahi. Ayah yang lebih Allah sayang. Bukan Imtiyaz tidak redha atau sengaja membiarkan perasaan itu tidak bebas, namun lumrah bagi seorang yang merasai pemergian orang tersayang merindukan mereka yang sudah 'pergi'.

Baru sebulan ayah pergi. Dia sudah berada di universiti tempatnya belajar untuk meneruskan perjuangan sebagai seorang pelajar. Bukan tidak risaukan ummi di rumah, namun tugasnya menggalas harapan keluarga mana mungkin dikecewa. Lagipun bulan hadapan peperiksaan akhir semester akan bermula.

"Ayah nak anak ayah jadi apa?" Imtiyaz menyoal suatu hari. Imtiyaz dan ayah sedang berehat di lama sambil duduk di pangkin jika ayah cuti atau lapang saban petang.

"Ayah nak Imtiyaz jadi manusia." Ayah tersenyum. Senyuman yang kekal dalam ingatan Imtiyaz.

"Imtiyaz kan manusia.. Ayah manusia.. Kita semua kan manusia.. Apa maksud ayah?" Imtiyaz menyoal kembali. Ada tanda soal muncul dalam kepala. Sungguh dia tidak faham.

"Untuk apa Allah jadikan manusia? Jadi khalifah.. Beribadah kepada Allah.. Jadi hambanya yang terbaik.." Ayah tidak bercakap banyak.

Imtiyaz terdiam. Cuba mencerna kembali apa yang dikatakan ayah. Ayah memang tidak cakap banyak. Lebih suka diam melainkan ada sesuatu yang perlu ayah perkatakan. Hari ini Ayah membuahkan persoalan dalam fikiran Imtiyaz...

Menjadi seorang manusia bukan kerja mudah. Allah ciptakan dunia bukanlah suatu tempat untuk kita hanya main-main. Habiskan sehari-hari hanya dengan aktiviti harian dan kadang membiarkan setiap detik berlalu tanpa makna. Menjadi manusia perlu memaknakan hari-hari yang Allah pinjamkan. Berusaha memperbaik diri setiap hari. Menjadi lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Sedangkan apa yang sudah dilakukan sepanjang 23 tahun Allah pinjamkan kehidupan ini?


****************************************************************************

Ayah, sesungguhnya rindu yang bertamu dalam diri tidak akan mati. Nasihat yang ayah beri menjadi paksi buat Imtiyaz teruskan perjalanan hari-hari. Apa yang Allah ayah tinggalkan bukanlah harta menggunung namun pesanan dan wasiat untuk menjadi seorang manusia.


Bukanlah untuk membiarkan diri terus tenggelam dalam kedukaan, namun ingatan kepada pesanan Ayah memberi kekuatan dalam diri. Menguatkan langkah meniti hari dalam kesuraman cahaya.


Ayah, walaupun Ayah sudah pergi nasihat Ayah bersemi di hati. Apa yang Ayah tinggalkan Imtiyaz semat dalam diri. Biarkan rindu itu terus segar dalam hati...

CERPEN : Aku Dan Dia

Rizu dan Erin telah berkenalan sejak kecil lagi kerana rumah mereka hanya berselang beberapa buah rumah sahaja. Perkenalan yang sekian lama itu telah membuat mereka menyintai antara satu sama lain. Rizu yang merupakan anak tunggal tinggal bersama ibunya. Ayahnya telah berpisah dengan ibunya semenjak Rizu kecil lagi. Rizu memang terkenal sebagai anak yang baik.

Pada suatu pagi di sekolah. "Erin, PMR dah semakin hampir, apa kata malam ini kita buat study group di rumah Rina? kawan-kawan lain pun ada juga." Kata Rizu. "Ok juga, lagipun keluarga Rina tu kan cikgu, pasti boleh membantu kita meningkatkan pelajaran" Jawab Erin. "Kalau macam itu, malam ini Erin tunggu saya di simpang tiga sebab saya nak pergi surau dahulu, dalam jam  8 malam tau" balas Rizu. "baiklah" balas Erin ringkas.

Di Surau, Rizu yang baru lepas solat Maghrib ingin terus bergegas pulang kerana tidak mahu Erin menunggu terlalu lama. Tiba-tiba Rizu terperasan yang tayar basikalnya pecah. " Alamak, mesti Erin akan lama tunggu aku di simpang sana" Rizu berkata sendirian.

Sementara itu, Erin yang menunggu Rizu di simpang bersendirian mula merasa gelisah. "Ish.. kenapa Rizu lambat sangat? Dah la di sini gelap sangat. Cahaya bulan pun tiada" Erin mula bermonolog.

Tanpa Erin sedari, ada sepasang mata yang memerhatikan pergerakannya. Sepasang mata yang memerhatikannya dengan renungan yang tajam. Bila keadaan yang semakin sunyi dan gelap, si pemerhati mula keluar dari tempat persembunyian dan terus menerkam Erin bagaikan Sang Musang melihat si ayam dalam kelaparan.

Erin yang terkejut dengan terkaman cuba menjerit dan meronta. Tetapi malang bagi Erin bila jeritannya tidak dapat didengari. Akhirnya rontaan Erin semakin lemah. Mana mampu kekuatan Erin untuk menghalang kekuatan seorang lelaki yg telah dirasuki syaitan.

-------------------------------------------------------------------------------------------

Rizu tiba di simpang hampir 35 minit lewat dalam keadaan bajunya dibasahi peluh. Dengan keadaan kepenatan, Rizu melihat sekeliling simpang tersebut untuk mencari kelibat Erin. Setelah memastikan yang Erin memang tiada di simpang, Rizu yang menyangka Erin pergi ke rumah Rina bersendirian terus pulang ke rumah kerana pakaiannya yang basah tidak sesuai jika terus ke rumah Rina.

Beberapa meter dari rumah, Rizu lihat rumahnya dipenuhi orang. Rizu juga melihat Erin dalam keadaan menangis. Ayah Erin pula berada dlm keadaan marah. Setelah masuk ke halaman rumah, ayah Erin yang ternampak Rizu terus mendekati Rizu lalu melepaskan satu tumbukan yang hinggap tepat di pipi kiri Rizu.

"Apa yang Rizu dah buat kat anak pakcik? Pakcik percaya kepada Rizu, pakcik anggap Rizu macam anak pakcik sendiri tapi ini balasan yang Rizu beri kepada Pakcik?" Ayah Erin melepaskan perasaan amarahnya terhadap Rizu. Rizu yang terpinga-pinga terus membalas " Apa yang saya dah buat terhadap Erin? saya tak faham apa yg pakcik maksudkan..!!" Jawapan Rizu itu dibalas dengan sekali lagi tumbukan oleh ayah Erin.

"Rizu cakap tak tau apa-apa? Tadi Erin balik dari simpang dengan keadaan pakaiannya yang koyak sambil menangis. Erin bagi tau pada pakcik yang Rizu telah memperkosanya" kata Ayah Erin dengan nada yang menengking. "Pakcik tak boleh tuduh saya tanpa bukti. Saya baru balik dari surau, masakan saya nak mengapa-apakan Erin. Lagipun takkan Erin tak nampak sama ada saya atau bukan yang memperkosanya?" Rizu mempertahankan dirinya.

"Bukti Rizu cakap? Hanya Rizu sahaja yang tahu Erin berada di situ. Rizu yang keadaan sekarang ini baju basah bukan ke terjatuh di lopak air masa hendak melarikan diri?. Memang Erin tak nampak perlakunya kerana keadaan disitu memang gelap tetapi dengan bukti yang ada telah menunjukkan Rizulah perlakunya." Gertak Ayah Erin.

"Kalau nak diikutkan hati, pakcik sumbat Rizu ke penjara tetapi pakcik kasihan dengan emak Rizu yang keseorangan. Macam ini la.., pakcik harap Rizu dengan emak Rizu dapat keluar dari kampung ini dengan secepat mungkin. pakcik tidak mahu anak-anak dara yang lain jadi mangsa Rizu." Tambah ayah Erin.

Rizu menangis kerana diperlakukan sebegini tanpa usul periksa. Tambah memilukan lagi hati Rizu apabila emaknya menangis kekecewaan. Erin dengan keluarganya serta orang ramai terus bersurai meninggalkan Rizu dan emaknya.

Rizu pergi mendapatkan emaknya sambil meraung kesedihan. "Mak..Rizu tak buat benda terkutuk itu. Mak..percayalah kat Rizu. Rizu memang tak buat. Emaknya yang sebak terus menjawab "Takpelah Rizu, mak tahu Rizu tak buat. Mak kenal sangat dengan anak emak. Mungkin orang dah tak suka kepada kita lagi kerana kita orang susah. Mungkin dah tiba masanya kita keluar dari kampung ini'.

Keesokan harinya, Rizu dan emaknya bergegas keluar dari rumah yang telah mereka duduki selama 15 tahun ke arah yang tak diketahui oleh orang kampung...

10 tahun telah berlalu, segala kenangan lalu telah dilupakan oleh Erin yang kini menuntut di sebuah IPTA dlm bidang perniagaan. Kehidupannya setiap hari hanyalah bergelumang dengan pelajaran. Tiada lagi istilah cinta dalam hatinya. Bukan kerana kisah hitamnya yang mengganggu fikirannya tetapi kesalahannya terhadap Rizu masih berbekas di hatinya.

-----------------------------------------------------------------------------------------

10 tahun yang lalu, beberapa hari selepas Rizu dan maknya keluar dari kampung tersebut.

Pada suatu malam, seorang penduduk kampung telah datang kerumah Erin. " Erin, ayah ada di rumah?" tanya penduduk tersebut."Ayah adan dalam rumah, sekejap ya saya panggil ayah" jawab Erin lalu meninggalkan muka pintu untuk memanggil ayahnya.

"Ha.. engkau ke Seman. Kenapa datang waktu malam nie? Cemas jer aku tengok." Kata ayah Erin setelah melihat Seman dlm keadaan kepenatan. "Tadi anak pak Daud kena perkosa di hujung kampung" Seman memulakan cerita. "Apa? ada lagi anak dara kampung ini yang diperkosa, bukan ke kita dah halau Rizu keluar dari kampung ini?." kata ayah Erin. "Kali ini kita dapat tangkap lelaki tersebut. Kebetulan masa kejadian, anak Pak Karim dengan kawannya lalu di situ dan terdengar jeritan. Lelaki tersebut ada kat rumah ketua kampung. Teruk juga kena belasah" tambah Seman lagi.

Ayah Erin rasa terkejut dan mula memikirkan sesuatu. Setelah agak lama mendiamkan diri, ayah Erin berkata" Jadi, adakah orang yang sama memperkosa anak aku?". "Kami dah soal siasat dia dan dia mengaku ada memperkosa seorang gadis di simpang beberapa hari lalu" Jawab Seman. "Nampaknya kita semua telah menghukum Rizu dengan membabi buta. Rizu..maafkan pakcik" kata ayah Erin sambil tertunduk penyesalan kerana menghukum orang yg tidak bersalah.

-------------------------------------------------------------------------------------------

"Hai Erin..jauh mengelamun. Ingat kat pakwe ke?" Kata Syaz sambil menepuk bahu Erin. Erin yang terjaga dari lamunan terus berkata" Ish..kau ini Shaz, suka sangat menyakat aku. Aku mana la ada pakwe. Lagipun aku nak tumpukan pada pelajaran aku" Erin memberi penjelasan kepada Shaz. "Kalau tak sebab pakwe, yang kau mengelamun jauh dlm library ini buat apa? Kita datang sini nak cari maklumat, bukannya nak layan perasaan" Shaz mula membebel. "Mungkin aku lapar kot. Jom kita pergi makan di cafe" Balas Erin pantas agar Shaz tak bertanya apa-apa lagi.

"Itulah kau, bila aku mula nak bagi ceramah sikit, laju je kau potong" kata Shaz. " He..he.. kau kalau ceramah memang tak pandai nak berhenti" jawab Erin sambil ketawa. "Ceh..mengada-ngada kau ini. Oklah jom kita pergi ke Cafe. Tapi aku dah muak la asyik makan di cafe fakulti kita je. Apa kata Kita pergi makan di Cafe Fakulti Kejuruteraan. Di situ ramai pelajar lelaki. Untung-untung ada yang terpikat dengan kau, so tak perlu kau nak mengelamun lagi" Cadang Shaz sambil memerli Erin. " Kau kalau sehari tak usik aku, memang tak sah kan? tak kisah la nak makan kat mana, janji perut aku berisi" Kata Erin.

Setibanya di cafe, "Erin, kau duduk di tempat yang kosong dulu, biar aku beli makanan. Nanti kalau kita berdua beli makanan, takut tiada tempat kosong pula" Cadang Shaz. " Oklah, kau pergi beli dulu, aku tunggu kau di tempat duduk yang tepi tangga itu" Kata Erin sambil menunjukkn jarinya ke tempat duduk yang kosong. "Ok" jawab Shaz ringkas.

15 minit kemudian Shaz tiba dgn makanannya. " Ish..kau ini pergi beli makanan pun lambat. Kau beli makanan atau kau pergi mengorat pakwe-pakwe di sini?" Giliran Erin pula mengusik. "Aku teringin nak makan nasi goreng USA di gerai hujung itu tetapi ramai pula yang membeli. So aku kena la tunggu giliran" Shaz memberi alasan. " Oklah, kau pula jaga tempat ini, aku nak pergi beli makanan pula" kata Erin sambil bangun meninggalkan Shaz.

Oleh kerana malas nak berjalan jauh dan menunggu giliran, Erin hanya pergi ke gerai yang terdekat dan membeli mee kari. Setelah membeli mee kari dan air, Erin pun berjalan ke tempat duduk. Ketika tempat duduk hanya tinggal beberapa langkah, entah bagaimana Erin terjatuh dan mee kari yang dibawa pula tercampak dan kena tepat di baju seorang pemuda. Habis baju putih pemuda tersebut dipenuhi dengan kesan kari.

Shaz yang nampak kejadian tersebut terus menolong Erin bangun, kemudian mereka pergi ke arah pemuda yang duduk keseorangan. Didepan pemuda tersebut, Erin tertunduk malu dan takut sehinggakan tak keluar sepatah kata dari mulutnya. Erin pasti yang dia akan dimarahi oleh pemuda tersebut.

"Awak tak apa-apa ke?" tanya pemuda tersebut. Pertanyaan itu pastinya mengejutkan Erin dan Shaz kerana mereka menyangka bahawa mereka pasti dimarahi dengan teruk tetapi apa yg berlaku diluar jangkaan mereka.

"Er..saya ok je. Tiada luka apa-apa." Jawab Erin yang masih lagi ketakutan. " Saya minta maaflah sebab saya dah tertumpahkan kari ke atas baju awak" tambah Erin lagi. "Takpelah, saya tau awak tak sengaja" jawab pemuda tersebut.

"Macam mana awak nak pergi ke kelas dengan baju yang kotor ini? Soal Shaz. "Kelas saya dah habis pun, so lepas ini saya akan terus balik rumah sewa untuk cuci baju ini" Jawab pemuda tersebut. "Awak...saya betul-betul minta maaf kat awak" kata Erin dengan nada merayu. Pemuda tersebut hanya tersenyum.

"okeylah, saya nak balik dulu ini, kalau lambat nanti, susah pula nak bersihkan kesan kari ini" Kata pemuda tersebut sambil bangun. "Terima kasihlah kerana tak marah kawan saya ini, siapa nama awak? kami betul-betul terharu dengan sikap awak" Shaz pula bersuara. Sambil tersenyum pemuda tersebut berkata " Panggil saya dengan nama Wan".

-----------------------------------------------------------------------------------------

Keesokan harinya di dalam kelas; " Hai.. Erin, menung lagi nampak, teringat pakwe semalam tue ker?" Seloroh Shaz. "Aku rasa...aku macam pernah jumpa la lelaki semalam itu kata Erin. "Argh... kau nie, ada-ada jer. Entah-entah pelanduk dua serupa" kata Shaz sambil ketawa. Erin hanya terdiam sambil ingatannya cuba mengingati sesuatu tetapi gagal.

"Erin, esok tiada kelas kan? so jom ikut aku pergi jalan-jalan di bandar? bosan la asyik stady je" Tanya Shaz kepada Erin. "Ok juga itu, aku pun ada nak beli barang keperluan" jawab Erin. Kalau macam itu, apa kata kita ajak Diana dengan Syira? Boleh kita pergi tengok wayang sekali. "Terpulang la kalau nak ajak mereka tapi kau pun tau kan yang mereka berdua itu asyik melekat jer dengan balak masing-masing" kata Erin dengan agak keras. "Aik...nada kau itu macam cemburu je mereka ada pakwe?" perli Shaz. Erin tidak menjawab pertanyaan Shaz tue.

Keesokan harinya hanya Shaz dan Erin saja yang pergi ke bandar kerana Diana dan Syira ada aktiviti lain. Setibanya di bandar; "Erin, kita pergi ke bank dulu tau, aku tiada duit sekarang ini, nanti tak dapat nak shopping puas-puas" Beritahu Shaz. "Hmmm.." Jawab Erin dengan ringkas.

Sekeluarnya mereka dari bank, tiba-tiba Shaz terpandang seseorang yang dirasanya bagaikan seseorang yang dia kenali. Shaz kemudian bertanyakan kepada Erin untuk kepastian " Erin..itu bukan ke Wan yang kau tumpahkan kuah mee hari itu?" "A..ah la, dia baru keluar dari klinik la. Apa yang dia buat kat klinik? Sakit ke? Tanya Erin. "Ish.. kau nie, banyak tanya pula. Kau suka kat dia ke?" Shaz bertanya dalam nada memerli. Tanpa menjawab soalan Shaz, Erin pun mengesyorkan agar mereka berdua pergi ke arah Wan.

Setibanya mereka dibelakang Wan, Erin mula menegur Wan " Assalamualaikum Wan, buat apa disini keseorangan? Wan yang agak terkejut lantas berpaling. "Oh..awak berdua rupanya, Waalaikummussalam. Saya dari klinik, ada hal sikit. Awak berdua pula buat apa di sini?" "Kami saja datang ke bandar untuk beli barang keperluan" jawab Shaz.

"Awak berdua dah makan? jom kita pergi makan dulu? Pelawa Wan. Dengan cepatnya Erin menjawab " Boleh gak kalau nak makan sama". Shaz hanya memandang Erin sambil tersenyum. Setelah Erin perasan pandangan dari Shaz, Erin pun bertanya " kenapa kau tengok aku macam itu?" "Aku tidak pernah melihat kau begitu teruja terhadap seseorang. Aku rasa kau macam dah jatuh cinta je dengan dia" jawab Shaz.

"Entah la Shaz. Bila aku tengok dia, aku memang rasa seolah-olah aku pernah kenal dengan dia tapi setahu aku, aku memang tak ada kawan lelaki yang bernama Wan" kata Erin. "kan aku dah kata hari itu yang mungkin pelanduk dua serupa. Dah la, kita pun dah nak sampai di kedai makan ini, nanti-nanti kita sambung cerita berkenaan hal ini" Shaz memberi cadangan.


Pertemuan di bandar semakin merapatkan hubungan Erin degan Wan. Erin merasa bahagia bila bersama Wan. Dia rasa bagaikan perasaan cinta yang telah lama hilang di hatinya muncul kembali. Tetapi dia tidak pernah meluahkan perasaanya terhadap Wan. Dia rasa biarlah dia menyintai Wan secara tersembunyi. Lagipun dia tidak mengetahui apa perasaan Wan terhadapnya pula.

Walaupun mereka agak rapat, namun Erin masih tidak dapat mengetahui tentang diri Wan. Nama sebenar Wan pun tidak diketahuinya. Begitu juga tentang keluarga dan asal usul Wan. Kekerapan Wan berkunjung ke klinik juga memberi tanda tanya kepada Erin. Pernah Erin bertanya tetapi jawapan yang Wan bagi adalah " Percayalah Erin yang satu hari nanti, Erin akan mengetahui semua rahsia saya. Bersabarlah kerana ia pastinya akan memberi kejutan. So saya harap Erin dapat menunggu saat tersebut".

Tiga tahun kemudian.

"Kenapa aku tengok kau macam risau je? Dari tadi asyik cuba hubungi seseorang" Tanya Wanie apabila melihat Erin begitu gelisah di dalam kelas."Aku cuba hubungi Wan tapi tak dapat. Dah 2 minggu aku gagal hubungi dia. Risau juga aku" Jawab Erin dengan agak cemas. "Mungkin handset dia rosak kot, kau cuba la hubungi sesiapa yang mengenalinya" Cadang Wanie. "Aku tak tau tentang kawan-kawan dan keluarga dia. Dia telah merahsiakan atas sebab tertentu yang aku sendiri kurang pasti" kata Erin. "Kau tidak mencarinya di rumah sewa dia?" tambah Wanie. "Dia tidak mahu aku mengetahui banyak tentang dirinya termasuk rumah sewanya" balas Erin.

Setelah tamat kelas. Erin pergi keseorangan mencari Wan di bandar dengan menggunakan motorsikal kawan baiknya, Shaz. Segala jenis jalan dan lorong dicarinya tetapi gagal menemui Wan. Dah puas matanya melihat ke kiri dan ke kanan untuk mencari kelibat Wan. Tiba di satu simpang, Erin yang sedang leka mencari Wan, tidak menyedari sebuah kereta menuju ke arah simpang tersebut. Erin yang tidak berhenti di persimpangan tersebut telah dilanggar oleh kereta tersebut. Erin mengalami kecederaan yang agak parah.

-----------------------------------------------------------------------------------------

" Doktor, bagaimana dengan anak saya?" Tanya ayah Erin setelah melihat doktor keluar dari bilik pembedahan. "Anak encik mengalami cedera yang agak parah. Dia berkemungkinan buta, manakala hati dan buah pinggangnya rosak hasil kesan dari kemalangan" kata doktor dengan nada hiba."Ya..Allah anak aku" ayah Erin berkata sambil menangis. " Macam ini la encik, sebenarnya masih ada peluang untuk anak encik hidup seperti biasa tetapi mesti ada penderma organ yang sudi untuk membantu anak encik di waktu yang terdekat ini." tambah doktor tersebut.

Dua minggu kemudian, doktor yang merawat Erin menghubungi ayah Erin" Hello..assalamualaikum, ini encik Zainal ke? "Waalaikummussalam...ya..saya Zainal. Siapa yang bercakap disana?" Soal Ayah Erin. "Saya doktor yang merawat anak encik Zainal. Ada berita baik untuk encik Zainal sekeluarga" kata doktor tersebut. "Apa berita tersebut?" tanya ayah Erin dengan pantas. " Ada seorang pemuda yang bersedia mendermakan organnya kepada anak encik Zainal" doktor memberi penerangan. "Alhamdulillah..syukur kepada Allah." Kata ayah Erin sambil menadah tangan.

"Pembedahan dijangka lagi 3 hari" kata doktor tersebut. " oh... tapi boleh saya tahu siapa yang sudi mendermakan organ untuk anak saya?" Tanya ayah Erin. "Sebenarnya pemuda tersebut mahu merahsiakan identitinya. Hanya selepas pembedahan berjalan dengan lancar dan anak encik Zainal sedar, baru kami akan beritahu identitinya. itulah permintaannya"

------------------------------------------------------------------------------------------

Dua minggu selepas kejayaan pembedahan permindahan organ berjaya, Erin yang semakin pulih bertanya kepada ayahnya tentang identiti penderma organ yang telah menyelamatkan nyawanya. Ayahnya kemudian memanggil doktor yang merawatnya. Doktor datang sambil membawa beberapa dokumen.

"Pemuda yang menderma organ itu sebenarnya sudah lama terlantar sakit disini. Hari itu semasa ibunya melalui wad ini, ibunya terdengar perbualan antara saya dengan encik Zainal, lalu menceritakan kepada anaknya. Anaknya yang mendengar berita dari ibunya terus membuat keputusan untuk mendermakan organnya kerana dia merasakan dia tidak memerlukannya lagi. Malah ibu dan pemuda tersebut mengenali encik Zainal sekeluarga. Pemuda itu juga berkata yang beliau satu Universiti dengan anak encik Zainal" terang doktor dengan panjang lebar.

"Mereka kenal kami sekeluarga dan pemuda tersebut sama tempat belajar dengan Erin? Tanya ayah Erin sambil memandang Erin. Dahi Erin juga berkerut kerana memikirkan siapa yang telah mendermakan organ kepadanya. "Doktor tersebut tersenyum kepada Erin sambil bertanya kepada Erin " Awak ada kawan bernama Wan kan? Dialah yang telah mendermakan organ kepada awak".

Kenyataan tersebut telah mengejutkan Erin. Orang yang dia cinta dalam diam sanggup berkorban deminya. Erin terus menagis. Kemudian Erin memandang doktor sambil bertanya dalam teresak-esak" Jika Wan mengenali saya kerana satu universiti, bagaimana ibu Wan juga boleh mengenali saya dan keluarga? "Saya rasa lebih baik awak semua bertanya sendiri pada ibunya. Nanti saya panggil ibunya" balas doktor tersebut

15 minit kemudian. " Assalamualaikum encik Zainal sekeluarga." Sapa satu suara yang memotong perbualan Erin dan keluarganya. Pandangan mereka menghadap kepada tuan empunya suara dan mereka semua terkejut. Didepan mereka adalah puan Halimah yang mereka pernah halau 13 tahun dahulu. Doktor yang datang kemudiannya terus berkata "Makcik inilah ibu kepada Wan yang baik hati itu"

Bagaikan petir memanah kepada dada Erin bila mendengar khabar yang mengejutkan itu. "Maknanya Wan yang saya kenal dua-tiga tahun ini adalah...." Kata-kata Erin terputus. " Ya.. Erin, Wan yang satu universiti dengan Erin itu adalah Rizu yang Erin kenal waktu kecil dahulu" kata Puan Halimah. Erin semakin kuat menangis. Ayahnya sekeluarga juga menangis kerana tidak menyangka orang yang pernah mereka halau dahulu telah membalas dengan jasa baik yang tidak dapat dibalas oleh mereka sekeluarga.

"Rizu mana Limah, tak ikut sekali datang melawat Erin ke? tanya ayah Erin. "Sebenarnya Rizu dah pun meninggal dunia seharii sebelum pembedahan pemindahan organ dilakukan. Rizu menghidapi penyakit lukemia. Dia tau yang dia tidak akan hidup lebih lama lagi, sebab itu dia mendermakan organnya kepada Erin" kata puan Halimah sambil menangis.


Erin sekeluarga bertambah sedih atas apa yang berlaku. Erin yang paling sukar untuk menerima kenyataan bahawa Wan yang dicintai dalam diam adalah Rizu yang juga kekasihnya pada satu masa dulu. Tambah menyedihkannya Wan telah meninggalkannya untuk selamanya dengan memberi segala jawapan yang Erin sering tertanya-tanya dulu.

Sunday, May 19, 2013

suka atau duka warnanya… syukuri hidup, nikmati kehidupan

DENGAN nama Yang Maha Kuasa, dimulakan bicara seadanya.
    Dalam rangkaian kehidupan, ada pelbagai cabang yang menghidupkan suasana kehidupan itu sendiri. Setiap daripada satunya berangkai, menjalin satu rantaian yang panjang dan melingkari hidup kita. Kehidupan, jika diibaratkan sebatang pohon, maka dengan dahan-dahan dan dedaunan nan menghijau membuatkan ia tampak segar. Dahan-dahan, ranting dan dedaunan yang menyempurnakan hidupnya sebatang pohon. Begitulah hidup ini, kesempurnaannya bukan kerana kita mampu hidup sendiri tetapi kerana adanya rangkaian dan rantaian yang melingkari. Segalanya berkait dalam mewarnai kehidupan.
   
    Kenikmatan hidup itu bila kita berasa kehidupan yang kita lalui dan tempuhi itu diberkati serta dirahmati. Malah, walau dihujani dengan seribu satu cabaran, ia disambut dengan kerelaan. Biarpun sejuta halangan mendatang, disambut dengan syukur. Segalanya itu tak harus melemahkan kehidupan. Ia patut menjadikan setiap daripada kita semakin kuat dan yakin meneruskan kehidupan.

    Ada dua jenis rangkaian yang sentiasa melingkari kehidupan kita, yakni rangkaian yang berada di luar diri dan yang berada di dalam diri kita sendiri. Rangkaian-rangkaian penghias kehidupan ini bukanlah sekadar kaku dan membatu. Ia sentiasa ‘hidup’ membayangi perjalanan kita.

    Siapakah di antara kita yang benar-benar dapat menikmati kehidupannya sebelum dia dihidupkan kembali oleh Maha Pencipta di alam kekal nanti? Apa yang ada kini hanyalah sementara, hanyalah sekadar pinjaman cuma yang menguji sejauh mana kita ‘menikmati’ erti sebuah kehidupan. Kehidupan ini satu pelajaran, di mana bila-bila masa saja kita mungkin akan menghadapi ujian. Mungkin esok atau lusa. Nikmati kehidupan dengan mensyukuri apa adanya. Nikmati kehidupan dengan menghadapi apa jua dengan redha. Nikmati kehidupan dengan sentiasa melihat ‘siapakah kita’ dan siapakah yang berkuasa.

    Kehidupan ini juga ibarat sebuah pelayaran di lautan yang kita tak tahu di mana ada pelabuhan. Pelayaran yang menuntut kita menghurai pelbagai persoalan. Yang pasti lautan mana yang tak bergelombang. Sekali lagi, kita patut menghurai sebuah misteri agar pelayaran ini selamat berlabuh di pelabuhan. Atau mungkin saja kita sesat haluan dek dipukul gelombang menggila. Atau mungkin kita hanya mampu berlabuh di dasar lautan!

    Kehidupan ada lebih dan ada kurangnya. Yang lebih kita bahagi-bahagikan kepada yang kurang. Yang berkurang kita cari dan tambah semampu mungkin. Kehidupan perlu keseimbangan, sebab itu ada undang-undang untuk hidup.

    Setiap yang hidup ingin bebas. Kebebasan merupakan satu anugerah yang patut dinikmati dengan penuh rasa syukur. Memang setiap daripada kita telah bebas, tapi ada sebilangannya masih terpenjara dalam diri, masih terkurung dalam murung. Kebebasan bukan membawa erti membebaskan kita untuk melakukan apa saja. Kebebasan hakiki bila kita benar-benar mampu untuk keluar dari seribu satu rasa yang memagari emosi dan perasaan kita.

    Sebenarnya ada seribu satu macam kisah di celahan satu kehidupan. Malah, mungkin ada sejuta atau berjuta-juta warna penghias satu kehidupan. Nyatanya, walau ada seribu, walau ada sejuta rasa dalam satu kehidupan, kita tak mampu untuk menghuraikan setiap daripada satunya. Namun percayalah, setiap daripada kita pasti merasa nikmat satu kehidupan. Diharapnya, setiap daripada kita mensyukuri nikmat dan menghargai anugerah satu kehidupan oleh Maha Kuasa ini.

    Sesuatu yang berlaku di celah kehidupan perlu ditafsirkan, perlu dihurai dan dicari makna yang tersirat. Apa yang lebih penting hikmah dan iktibar di sebalik sesuatu yang berlaku itu. Siapa yang tak pernah silap? Siapa yang tak pernah gagal? Siapa yang tak pernah rebah dan kecundang? Hampir semua di antara kita pernah melakukan kesilapan, pernah menikmati kegagalan dan pernah merasa sakitnya tersembam. Hinggakan ada di antara kita sebahagian hidupnya hanya bermain dengan silap, gagal dan kecundang! Soal berapa kali, berapa kerap bukan satu alat pengukur bahawa kita ini sudah masak dengan asam garam kehidupan. Semua di antara kita patut sentiasa ingat bahawa yang lebih penting adalah memperbaiki kesilapan, tak mengulangi kegagalan dan bangun setelah rebah.

    Kadangkala kita pasrah dengan nasib dan takdir. Namun, pasrah itu bukanlah seharusnya ditafsirkan sebagai mengalah atau  atau terus berserah. Tetapi pasrah itu patut dijadikan petunjuk arah untuk satu kehidupan lebih cerah. Ingat, mengalah bukan kalah! Pasrah bukan berserah!

    Dengarkanlah sedikit ungkapan yang berisi ‘sesuatu’, yang berada di celahan waktu… yang dilahirkan oleh seseorang, yang mungkin juga apa yang ada dalam fikiran setiap daripada kita.
Sebenarnya , kita hanya mempunyai tiga hari saja.
   
    Yang pertama; hari kelmarin. Kita tak mungkin boleh mengubah apa pun yang telah terjadi. Kita tak akan boleh menarik kembali perkataan yang telah terucapkan. Kita tak mungkin lagi menghapus kesalahan dan mengulangi kegembiraan yang telah kita nikmati kelmarin. Biarkan hari kelmarin pergi; lepaskan saja…
  
    Yang kedua; hari esok. Hingga mentari esok hari terbit, kita tak tahu apa yang akan terjadi. Kita tak mampu melakukan apa-apa esok hari. Kita tak mungkin sedih atau ceria pada esok hari. Esok hari yang belum tiba; biarkan saja…
   
    Yang tersisa kini hanyalah hari ini. Pintu masa lalu telah tertutup; pintu masa depan pun belum terbuka. Pusatkan saja diri kita untuk hari ini. Kita dapat mengerjakan lebih banyak hal hari ini bila kita mampu memaafkan hari kelmarin dan melepaskan ketakutan akan esok hari. Hiduplah hari ini. Kerana, masa lalu dan masa depan hanyalah permainan fikiran yang rumit. Hiduplah apa adanya. Kerana yang ada hanyalah hari ini.
   
    Perlakukan setiap orang dengan kebaikan hati dan rasa hormat, meski mereka berlaku buruk pada kita. Cintailah seseorang sepenuh hati hari ini, kerana mungkin esok cerita sudah berganti. Ingatlah bahawa kita menunjukkan penghargaan pada orang lain bukan kerana siapa mereka, tetapi kerana siapakah diri kita sendiri.
   
    Jadi, jangan biarkan masa lalu mengekang kita, atau masa depan membuat kita bingung, lakukan yang terbaik HARI INI dan lakukan sekarang juga!