lagu

Thursday, October 30, 2014

SEBUAH KENANGAN

Dari matamu
Kutemui gelora
Pabila pandangan bersatu
Di hujung rindu

Dari bibirmu
Ada getar melanda
Pabila embun bertukar salju
Di anjung kasih hati menyapa

Cairlah derita kala hati sengsara
Saat mata dan bibir tunduk berkata
Dalam kelam cahaya terdengar detak jantungmu
Bertaut kencang tak pernah reda

Berlabuhlah sebuah memori
Terdampar kenangan di pelabuhan sepi...

Saturday, October 25, 2014

luka.....

Aku sendiri tidak tahu di mana harus aku mulakan, aku tidak tahu mengapa tiba-tiba hati ini disentuh duka semalam... Aku sudah berupaya melupakan semua kesakitan yang diberikan, namun dengan tiba-tiba, perasaan itu hadir kembali... Bayangan semalam bagaikan memaksa aku merintih sendiri... Aku menjadi rindu pada kenangan lalu dan lantas hatiku menjadi begitu sayu sekali... Sudah puas airmata ini mengalir di pipi... Sudah reda bengkak di hati ini, sudah surut amarahku, sudah puas aku memujuk diri... Namun mengapa bayangan semalam masih menghambat perasaanku hingga bergenang airmataku... Aahhh...kusapu airmata yang hampir mengalir, aku tidak mahu ianya mengalir di pipi ini untuk kesekian kalinya... Biarlah kusimpan airmata ini untuk kegembiraan...



Puas sudah aku meratapi sebuah nasib yang diperuntukkan buatku... Sehingga ke hari ini aku masih mampu terus bersabar untuk setiap kelukaan demi kelukaan... Hati ini bagaikan sudah menjadi lali untuk, kesakitan, kelukaan, kehilangan, ketandusan...aaahhhh..!!! Sungguh...sebenarnya aku sudah tidak mampu lagi untuk meratapi sebuah lagi kelukaan...biarlah pengalaman lalu berlalu bagai angin... Sungguh!!! Aku sudah tidak mampu lagi, kudratku tidak terdaya menahan bebanan duka yang dipikul... Menyesal???...aahhh...langsung tidak terdetik dihatiku, kerana aku yang memutuskan semua perjalanan hidupku. Mengapa harus aku menyesal, kerana semuanya kehendak Tuhan...cuma apa yang aku harapkan, moga masih ada sinar kebahagiaan buatku...


Monday, October 20, 2014

Rindu Yang Tak Pernah Hilang...

Kasih...
rindu ini...
tak pernah hilang dari hati
meskipun gerimis menghanyutkan sisa-sisa kasih yang tertinggal di lubuk jiwa
disaat kejora kian sirna warnanya
dan cakerawala
hanya mampu menghadirkan suram di langit jingga...

Dan pada ungkapan yang telah dilupakan...
pada rindu yang tak terucapkan
jua pada janji yang telah dikuburkan
kuhimpunkan segalanya dalam kesepian yang tiada berpenghujung
bersama sekeping hati yang luka disayat derita...

Rindu ini...
selamanya menjadi milikku yang abadi...


~ Putera Leo ~

Sunday, October 19, 2014

tahukah kamu...??

Melalui aksara kusampaikan padamu tentang sebuah rahsia...
Tahukah duhai kamu ?

"Bersamamu adalah masa dimana lenaku tak lagi merasakan indahnya mimpi...
Kerana kamu adalah impianku yang menjelma nyata...!!"

*KISAH SEMALAM*

Kasih...
semalam telahpun berlalu 
bersama kisah pilu kau dan aku...!

Hari ini...
aku masih di sini...
merenung batas-batas janji...
yang berkecai bersama mimpi-mimpi...!

Esok...
apakah aku masih begini...
mengenang dan merindui...
pada kisah semalam...
yang kini bukan milikku lagi...?

Wednesday, October 8, 2014

cintaku padamu...

SAYANG...

Maafkan aku andai cintaku padamu tak sesempurna mahumu...
namun bagiku cintamu adalah segalanya...

Bagaimana mungkin aku membisu...
sedangkan hati memekik rindu...

Bagaimana mungkin aku menutup telinga...
sedangkan alunan cinta jelas kedengaran...

Bagaimana aku mahu terlena...
sedangkan mimpi indahku dengan mata terbuka...

Bagi aku kesempurnaan cinta adalah apabila kekuatannya dapat aku rasakan... Di setiap langkahku akan selalu mengingatimu kerana bisikan cintamu adalah azimat buatku dan bisikan itu jugalah pengubat keresahan hati ini... Janganlah kau tinggalkan aku kerana pasti hatiku terasa sunyi tanpa kau di sisi...

~ Putera Leo ~


Saturday, October 4, 2014

Ketika Hati Terluka...

Bila diingat-ingat kembali, terasa sukar untuk memaafkan tapi kerana lembutnya hati, tetap memaafkan walaupun hati disakiti. Tetap takkan membenci walaupun jiwa terluka...hati terdetik, mungkin ada pengajaran di sini untuk di'muhasabah’kan...


Untuk melupakan, mungkin mengambil masa... kata orang, "I'll draw you, then erase you...but I will remember you again"...dan kini cukuplah hanya do'a mengiringi kelukaan itu. Kenangan yang berlalu tetap berlalu. Dan dengan harapan agar cukuplah...tak perlu lagi hadir dalam hidup ini. Pergilah untuk selamanya...


Terkadang, bila kita cuba untuk berbuat baik tak semestinya dibalas dengan baik juga. Kita kena menerima hakikat itu...


Adakalanya hati kita disakitkan, kita dikritik seolah-olah terlalu besar kesilapan kita... Mungkin terdetik dihati kita apabila diperlakukan sebegitu...



"Hina sangatkah aku ni?"
"Jahat sangatkah aku ni?"


Namun, jika difikirkan dengan lebih mendalam, pasti ada hikmah di sebaliknya... Mungkin apabila kita diperlakukan sebegini, Tuhan ingin mematangkan jiwa kita. Mungkin kita kena belajar menerima kritikan, cacian dan apa-apa saja untuk melatih kita menjadi insan berjiwa besar.


Hati pun menenangkan jiwa sendiri,


"Tak mengapa wahai diri. Terima saja kritikan dan penghinaan dengan hati terbuka. Teruskanlah langkah, jangan berhenti sebab Tuhan tahu niat dan tindak-tanduk kita. Yakin padaNya. DIA yang menentukan hidup kita, bukannya manusia."


Mungkin bila hati kita terluka, kita menjadi insan yang lebih menghargai di masa akan datang. Kita lebih menghargai ungkapan insan lain, pemberian insan lain, luahan insan lain...


Mungkin bila hati kita terluka, kita mula mengenal apa itu erti kasih sayang...


Mungkin bila hati kita dilukai, kita mula mengerti bahawa tak semua orang dapat membahagiakan kita, tetapi selagi kita berusaha membahagiakan orang lain, kebahagiaan tetap akan datang pada kita suatu masa nanti...



"Kebahagiaan itu umpama kupu-kupu. Jika dikejar, ia akan pergi. Jika dibiarkan, ia akan singgah di bahumu."


Mungkin bila hati menangis, baru kita mengerti bagaimana sakitnya hati insan yang pernah terluka sebelum ini...


Terima kasih hati, kerana engkau lebih mengerti tentang kehidupan ini. Diri ini tak tahu nak cakap apa, cuma tersenyum. Tak perlu kata apa-apa... 



~ Putera Leo ~ ^_^

DUHAI KAMU...


Duhai kamu...
Bawa aku pergi bersama gelap dan kesunyianku kerana di sini sebilah rindu hampir membunuhku dengan jarak dan waktu yang kian memburu...



Friday, October 3, 2014

sayangku...aku rindu padamu...

Sayangku...
cinta adalah pelayaran yang tidak perlukan pelabuhan
dan selagi semilir bayu masih berhembus
selagi itulah akan kubisikkan dihatimu tentang kerinduan ini...!

Meskipun tiada ucapan...
meskipun tiada aksara yang kau utuskan buatku
getar-getar rindu ini
selamanya tetap tertuju padamu...sayangku
kerana aku...
menyintaimu...!

Thursday, October 2, 2014

WARKAH BUAT SEORANG TEMAN…

Assalammualaikum…

Aku harap dirimu sihat sejahtera, berasa bahagia dengan apa adanya dirimu ketika ini. Malah aku sentiasa berharap dan mendoakan kebahagianmu di dunia hingga akhirat kelak. Kerana kau temanku, hanya itu yang sentiasa aku harapkan. Hanya itu yang sentiasa aku pohonkan kepada Maha Pencipta.


Teman…

Sama ada aku sedar atau tidak, mahu atau tidak menerima hakikat kini kau sudah berubah. Sudah memiliki kehidupan sendiri, sudah ada impian dihati, sudah ada ambisi tentang hidup dan kehidupan yang seterusnya. Aku sebenarnya cukup kesal atas apa yang berlaku, yang membuat kita tak dapat mengulangi detik-detik indah bersama. Takdir yang ‘memisahkan’ kita ini suatu hakikat dan harus diterima sepahit mana pun rasanya, sepedih mana pun sembilunya menghiris.

Aku bagai menjadi orang asing, mencari siapa diri kemudian cuba mencari di mana tempat aku seharusnya berada. Di mana aku di dalam hatimu, wahai teman?

Aku sesat dalam pencarian ini...


Teman…

Aku hanya mempunyai kenangan lampau bersamamu. Aku fikir kenangan-kenangan itu mampu menjadi modal untuk aku raih kenangan manis bersamamu. Namun, hakikatnya tak begitu. Kenangan itu hanya melekat dihatiku, dan tidak dihatimu. Malah, aku tahu kau hampir langsung tidak menyimpan kenangan-kenangan bersamaku. Segalanya bagaikan lenyap bersama angin perubahanmu. Apalah dayaku… aku tak punya kuasa apa-apa untuk mengembalikan segala kenangan itu. Mungkin juga kau tidak berminat untuk menyimpan kembali memori yang hilang itu. Kau mungkin lebih suka dengan memori-memori baru yang sedang kau ciptakan.

Apa yang cukup-cukup aku takutkan suatu masa dahulu, rupanya mejadi kenyataan. Dahulu aku merasakan akan kehilangan kau walau hakikatnya jarak kita tak sejauh mana pun. Aku cuba terus yakinkan diri bahawa kau akan sentiasa ada, sebagaimana aku meyakinkan kau bahawa “saya akan sentiasa ada untuk awak”. Namun masa merubah segalanya, sekaligus mengikis sedikit demi sedikit kewujudanku di matamu. Aku sedar dan dapat melihat dengan nyata hakisan-hakisan itu. Dan, hari ini aku memang telah benar-benar yakin bahawa aku telah ‘hilang’ dari pandangan juga kehidupanmu. Ada rasa ‘dendam’ di benakmu yang membuat kau ‘membuang’ segala kenangan. Rasa amarah, rasa tidak puas hati itu menjadikan kau semakin terlepas dari dakapanku.

Aku tak tahu kenapa kau begitu? Kau hanya melakukan sesuatu atas perintah naluri, atas desakan perasaan. Bujukan-bujukan ketidakpuashatian itu akhirnya merosakkan dan memusnahkan segalanya. Bagai kaca terhempas ke batu… berkecai! Hatiku remuk menahan rempuhan-rempuhan dendammu. Kata-katamu menjadi belati yang menikam-nikam dan menghancurlumatkan seluruh hati dan perasaanku… tanpa belas!! Hatiku menangis teman…tapi adakah kausedarinya? Tidak!! Kerana kau tidak pernah peduli apa yang kurasa…


Teman…

Apa yang dapat aku lakukan untuk menebus kesilapan dan kealpaan lampau adalah mengikut ke mana saja rentakmu. Namun, rupanya hal itu juga tak mampu meraih kembali kau ke sisiku. Lalu, apa mahumu, wahai temanku?

Sampai bilakah dendammu akan berakhir? Dendam itu hanya merosak ikatan yang telah tersedia terjalin. Kau menjadikan kesilapan-kesilapanku pada masa lalu sebagai alasan untuk melakukan apa saja tindakan – Mungkin kau puas bila melihat aku terluka… Dengan itu akhirnya kau telah menjadi ‘seronok’ dan ‘suka’ dengan perbuatan-perbuatan itu. Kau tetap begitu sedangkan pada hakikatnya bagiku itu hanya sekadar alasan untuk menutupi salahmu yang kau sendiri tahu.


Duhai temanku…

Hanya ini yang dapat aku titipkan buatmu. Mudah-mudahan kau membacanya, memahaminya dan berfikirlah serta cari apa yang kau mahukan dalam hidup dan kehidupan ini. Pada sisa-sisa masa yang ada, dalam keadaan serba kekurangan ini aku bukan berputus asa atau berhenti untuk menyayangi dirimu. Aku cuma berasa perlu untuk aku berlalu pergi agar tiada kesakitan yang amat sangat akan aku rasai lagi... Dan juga agar api dingin tak semakin memarak dan membekukan kita dalam luapannya.

Satu perkara yang kau tak akan dapat nafikan dan memang dapat kau rasakan bahawa aku tetap sayangkan kau sebagai temanku, dunia akhirat. Sedari dulu, aku tahu kau membakar aku dengan api kebencianmu, tetapi aku tetap datang untuk cuba memadamkannya… Aku tahu bahawa kau juga tahu semua itu. Namun, apa yang tinggal kini hanyalah kenangan tanpa memorinya, bayangan tanpa imejnya dan… kasih tanpa sayangnya! Semoga kau berbahagia selalu…


Salam kasih sayang untukmu…

Dariku…

~ Putera Leo ~

Wassalam.