lagu

Thursday, March 24, 2016

SEPI........

Sepi itu indah? Di mana agaknya letak keindahan dalam rasa sepi itu? Yang aku tahu, telah banyak aku menyaksikan bahawa sepi itu sering membunuh jiwa. Membawa manusia itu larut sendiri dalam kesedihan yang seperti tiada hujungnya.

Sepi itu tidak bisa dilihat… ia cuma bisa dirasai. Terkadang dalam keriuhan pun kita masih bisa merasai rasa sepi. Itu yang selalu terjadi bila logik akal enggan berkompromi dengan tuntutan hati. Makanya kita akan dipisahkan sebentar dari dunia nyata. Tenggelam dan hanyut dalam dunia ciptaan sendiri…

Kau, aku... kita semua pernah melalui fasa-fasa sepi dalam kehidupan. Tipulah andai tiada seorang pun tidak pernah merasainya. Cuma bezanya adalah pada cara kita menghadapi rasa sepi itu.

Jadi, andai kau tanyakan pada aku, apa benarkah SEPI ITU INDAH? Maka aku hanya akan berkata :

“Sepi itu akan menjadi indah hanya pada saat kau betul-betul menyedari bahawa di antara lautan rasa sepi itu akan terselit satu keindahan yang perlu kau fahami betul-betul. Dan apabila kau sudah fahami betul-betul… keindahan itu akan kau dapatkan…

KEKUATAN ... itulah keindahan daripada rasa sepi itu”

Buat mereka yang masih memiliki rasa sepi itu, yakinlah KEINDAHAN itu selalu ada… Cuma kau perlu menerokainya… dapatkan ia, dan jangan biarkan sepi itu melarutkan kau dalam kesedihan yang tak berpenghujung...!

Untuk KAMU juga sahabatku (iya, aku maksudkan kamu!)



Putera Leo
3 : 59 pm
24 / 03 / 2016

Saturday, December 19, 2015

dalam kesendirian yang menghimpit...


Malam merayap sunyi...
hanya sesekali kerlip bintang hadir menghiasi
sedang rembulan, sudah tertidur sedari tadi

Lalu untuk apa aku masih berdiri di sini...?
dan untuk siapa rasa sepi ini...?
untuk sebuah mimpi...?

Entahlah...
entah mengapa aku masih di tempat ini
kerana angin pun telah berlalu membisu
tinggalkan rindu tergantung menyendiri
di antara waktu yang semakin membeku...


< dalam kesendirian yang menghimpit >

Putera Leo
1 : 57 am
19 / 12 / 2015

Tuesday, October 20, 2015

Menanti dalam sebuah pengharapan...

Menanti…
dalam sebuah pengharapan
meski bertahun menunggu
pasrahku dalam kesendirian
entah mengapa…
hati ini direjam pilu.

Memori itu...
terpahat dalam ingatan
walau mencuba untuk melupakanmu
entah mengapa begitu sukar
memadam segala kenangan terindah
bersamamu.

Sebenarnya…
aku tidak ingin lagi menunggu
namun hingga saat ini
aku belum mampu…melupus bayangmu
lalu aku berharap di suatu hari nanti
setelah aku tiada lagi…
dikau akan mengerti
catatan hatiku yang tulus…mencintaimu
hanya untukmu...

Putera Leo
3 : 20 pm
20 / 10/ 2015


Monday, September 28, 2015

persoalan yang tak mungkin ada jawapan...

Perjalanan hidup ini terkadang penuh persoalan yang tak kita temui jawapan yang pasti. Berkurun telah berlalu, namun masih tiada huraian pada persoalan yang tak terungkai. Kadang-kadang kita merasakan kita temui titik baru dalam kehidupan kita, tapi sayangnya titik kelam itu tak bernyala...

Bila kita membina harapan, kita mula bermimpi tentang indahnya kenyataan. Sayangnya langit petang membawa mendung yang berpanjangan. Di manakah silap langkah kita? Termenung di jendela kala resah bertamu dihati kita. Tak termampu mengolek mimpi di buaian indah. Saat airmata menakung sepi itu, kita cuba halang kecewa bertamu, menidakkan kemarau jawapan tapi siapa kita?

Andai tertulis jawapan itu bukan pengakhirannya, maka kita terpaksa teruskan pencarian atau melupakan. Dan bila kita lelah, kita menghela nafas yang panjang seolah akhirannya punah.

Setelah apa yang aku lalui selama ini, aku berhenti berlari. Lari dari mencari jawapan yang hilang. Lari dari masa lalu yang kini jadi sejarah. Terasa begitu penat perjalanan selama ini. Tersandung dan tersungkur walau berkali, aku masih bangun dan berdiri dan melangkah tanpa pasti.

Kini, langkahku di sini... masih mencongak simpang. Tapi aku redha pada ketentuanNya. Izinkahlah aku teruskan dengan apa yang tersisa, janganlah disisihkan...


*persoalan yang tak mungkin ada jawapan...

Putera Leo
4 : 10 pm
28 / 09 / 2015



Wednesday, August 12, 2015

C . I . N . T . A

Cinta bukan sebutan...cinta juga bukan sesuatu yang kelihatan...cinta adalah rasa yang tak dapat dihurai dengan kata-kata...cinta juga tidak berzahir...ianya adalah rahsia keagungan Maha Pencipta yang dipinjamkan keatas kita...biarpun ianya tidak berzahir ia masih mampu melukakan walau tidak dari kata-kata ianya mampu membuat kita kecewa...itulah kehebatan cinta...oleh kerana itu...jika kita bercinta...cintailah dia kerana DIA...kasihilah dia kerana DIA...kita tidak akan berasa terlalu kecewa bila ditinggalkan atau terpaksa meninggalkan dia kerana kita masih ada DIA....dan DIA takkan pernah menolak cinta dari kita...kerana DIA sentiasa menghulurkan cintaNya kepada kita...



Tuesday, July 21, 2015

KEHILANGAN

KEHILANGAN - Yang memedihkan dan menyakitkan adalah tatkala bayangan mereka yang telah tiada itu datang mengetuk fikiran dan perasaan, suara mereka datang menyerbu di bibir telinga tatkala keseorangan, dan yang lebih memerihkan adalah tatkala mengenangkan bahawa watak-watak yang pernah bersama kita menatap bulan dan mentari itu tidak akan kembali lagi kepada kita sampai bila-bila...

Menghadapi hari-hari setelah mereka tiada, kesepian yang datang, tiada lagi teman berkongsi cerita, tiada lagi teman buat menyambut tawa dan tiada lagi bahu tempat menumpang esak tangis, peritnya kesepian itu, kerana tiadalah ia terserlah pada zahir mata yang memandang, tetapi ia terpendam pada jiwa-jiwa yang dibalut kesedihan dan kesunyian...


*mengenang "KEHILANGAN" dalam suatu episod hidupku...



Monday, June 22, 2015

Berikan Aku Sedikit Bahagia

aku bukan siapa-siapa bagi kamu...
aku tak pernah penting dalam hidup kamu...
aku hanya serpihan kecil yang terlekat dihati kamu...
aku tak pernah hadir dalam hati kamu...

aku terima segalanya dengan hati tenang...
biarpun aku tak pernah bernilai dalam hidup kamu...
tapi kamu amat bernilai dalam setiap hari-hariku...
kamu yang terindah dalam hidupku...
kamu yang mencipta bahagia itu...
kamu yang mencipta duka itu...

aku hidup dalam setiap bait katamu...
menjadikan aku manusia yang keras...
aku tak pernah pinta kau hadir dalam hidupku...
dan aku tak pernah pinta untuk hadir dalam hidupmu...
kala kita bersua pasti rindu terlerai...
kala kita terpisah pasti rindu itu bertandang...

bisakah untuk aku...
mencari sebuah makna kehidupan tanpa kamu di sisi...
tika hari makin kelam...
tika mentari hilang menggantikan bulan...
tika langit hilang bintangnya...
begitulah hidupku...
tika mencari dalam setiap langkah...
aku tersungkur di jalanan...
aku berlari mengejar bahagia itu...
dan aku lelah sendiri...
penat mengejar bayang-bayang yang tak pernah hadir di depan mata...

Berikan aku sedikit bahagia...!!!


Putera Leo
22 / 06 / 2015