lagu

Wednesday, December 19, 2012

Aku Akan Selalu Ada Untukmu...

"Aku ingin menjadi segumpal awan... Yang bisa mengekori langkahmu... Agar dapat melindungi dirimu... Dari panas dan hujan yang melanda... Aku juga ingin menjadi matahari... Memberi cahaya menerangi hari-harimu... Memaparkan seluruh keindahan alam... Yang dipenuhi warna-warni keceriaanmu... Dan aku ingin menjadi bulan malammu... Menerangi dan menemani setiap sepimu... Bintang-bintang bertaburan di langit biru... Menjadi lampu-lampu menemani mimpi-mimpimu... Namun... Aku hanyalah aku... Cuma memiliki sekeping hati...Yang mampu berdoa buatmu...Dan mencintaimu setulus hati..."



Saturday, December 15, 2012

*LUKA*

Jika sampai waktunya
Biarlah kaca itu mendarahiku
Biarlah…
Biarlah pedih menanahi hidupku ini.
Tidak perlu
Air mata ini kautangkiskan
Biarlah aku mati dalam dunia
Kusendiri.

Luka yang robek
Adalah merah darah kedukaan…


Saturday, December 1, 2012

*SETIAP SIANG YANG DATANG*

Setiap siang yang datang
Adalah hari yang baru
Buat kita
Menyirami kuntum-kuntum
Yang terlayu
Diusik mentari,
Menyimpul benang-benang
Yang terputus
Di tarik jari.

Dan setiap siang yang datang
Adalah hari yang baru
Buat kita
Mencerah rona diri
Yang terkelabu
Memaniskan usia
Yang kian dewasa.

Setiap siang yang datang
Adalah hari baru
Yang mesti kita dakap
Dengan senyuman
Dan harapan…

*SEPERTI AIR LAUT*

Hidup ini seperti air laut…
Sentiasa bergelombang
Dipukul ribut terhempas di batu karang
Buihnya meresap di pasir
Di dasarnya tersimpan seribu rahsia.

Begitu kehendak Tuhan
Hidup seperti air laut
Maka bahtera pun belayar
Laut luas ternganga
Bekalnya cuma sebuah tekad
Di sinilah kejayaan…
Di sinilah kehancuran…
Kerana di sini bermulanya,
Cinta dan harapan…

*SEGALANYA TELAH TAWAR*

Mendung berarak-arak
Angin tersenyum sinis
Memerhati
Cahaya kian menghilang
Yang tadinya cerah kini kegelapan
Meraba-raba menyusur hidup
Walaupun kini
Sebutir cahaya memancar sinarnya
Namun cuma memberikan
Kecerahan yang malap
Kini semuanya sudah terlewat
Kerana segalanya telah tawar…

*HUJAN*

Hujan…
Antara kegelapan
Mencucuri sekujur tubuh
Dalam kerinduan
Penuh syahdu.

Lalu jadilah
Lagu-lagu yang ada
Tak pernah merdu
Semerdu hujan ini
Dan aku
Sebagaimana aku yang lalu
Tetap kepayahan
Dalam mencari sebuah pertemuan.

Kini…
Hujan dan kegelapan
Adalah pemburu dihati ini.

*PUISI BUAT TEMAN*

Teman…
Bicara demi bicara
Kauukir
Di sudut bibirmu
Akan kuhimpunkan
Menjadi puisi-puisi rinduku
Setiap kejauhan malam
Akan kudeklamasikan
Buat mengenangmu.

Akan kuabadikan namamu…teman
Dalam ingatanku
Mengiringi doa restuku
Buat kebahagiaanmu…

*SEBUAH PESONA*

Kilau dari matamu…
Adalah nyala abadi
Pancaran seribu makna
Penuh erti dan pesona.

Gemersik dari nafasmu…
Adalah angin pagi
Lembut dan damai
Mengusap rasa.

Aku pun tiba-tiba
Jadi pentafsir
Mencari makna diri
Di antara
Kelopak-kelopak rindu…

*CERITA TENTANG CINTA*

Bagiku,
Cinta…
        Tiada terlukiskan
        Tiada terungkapkan
Jika kauingin tahu
Dan masih ragu-ragu
Inilah pesanku :-
                        Lihatlah wajahku…
                        Renunglah mataku…
                        Sentuhlah jejari ini…
Segala rahsia hati itulah cinta.
Usahlah dipaksa aku bersuara
Demi kata-kata yang mungkin palsu
Kerana siapa pun boleh saja mengucapkannya.
Maka jika ingin tahu rahsia dihatiku,usah paksa.
Inilah pesanku :-
                        Lihati wajahku…
                        Renungi mataku…
                        Sentuhi jejariku…
Di situ getaran sukma
Seni dan murni. Itulah.

*INGATAN*

Jika ingatan padaku sudah tiada
Sedetik luangkanlah agar
Diri ini masih mempunyai makna
Agar diri ini tidak terus luput.

Aku setiap masa masih setia
Ingatanku padamu tidak goyah
Masih kukuh seperti detik indah dulu
Yang kuharap akan berulang.

Mungkin aku ibarat pipit
Tidak tahu diri
Tapi ketahuilah teman…
Aku masih punya hati dan perasaan
Punya rasa untuk rindu merindui.

Inginku katakan padamu
Betapa aku rindu padamu
Betapa aku rindu pada dendanganmu
Yang aku semakin pasti
Kautidak sudi aku menjadi pendengar.

Teman…
Jauh di sudut hati
Aku tanamkan secebis harapan
Agar kauakan tetap setia mengingati
Pada insan yang pernah
Kaukenali…

*BILA RINDU MENJELMA*

Rindu…
Mengapa kaujelma lagi
Mengusik perasaan
Disaat aku dalam kejauhan
Sendiri di pelabuhan.

Rindu…
Beban ini menyiksakan
Yang pasti penawarnya
Cuma bertemu
Namun masa tidak merelakan
Pertemuan antara kita.

Rindu…
Oh, kejamnya
Kaucengkam jiwa ini
Di mana aku tak mampu menolaknya
Saat kaudatang
Aku pasti terseksa…


*SEJUTA PERSOALAN*

Perasaan…
Menjadi sedingin malam
Di perbukitan
Kelam di segenap ruang
Gema suara melantun dalam diri
Kemesraan pudar
Mereput di dedaunan kering.

Di sini…
Embun tidak henti menitis
Membasahi ruang ingatan
Pada mesra yang dulu
Ketika bilur-bilur waktu
Menikam telapak sendu
Akulah unggas-unggas hutan
Yang tak mampu melaung
Saat kuhimpun mesra
Kenangan menjadi bara
Yang menyemarakkan lagi
Sejuta dendam
Angin tak mampu melenyapkannya
Dalam ruang ingatan
Malam tak mampu menidurkan
Resah seorang penanti
Pada persoalan yang belum selesai

Hidup ini terlalu pendek
Untuk dimusykilkan…!!!

*ANDAINYA KESEPIAN MELANDA*

Andainya kesepian melanda…
Kosonglah hati ini
Terdampar sepi
Di pelabuhan tak berpantai.

Andainya kesepian melanda…
Tanduslah jiwa ini
Bagai musafir hilang pedoman
Di padang pasir tak berpenghuni.

Andainya kesepian melanda…
Resahlah rindu ini
Mengharap seteguk kasih
Di perhentian cinta bermisteri.

Andainya kesepian melanda…
Deritalah aku bernama lelaki
Dihempas ombak rindu
Di pantai cinta gadis.

Andainya kesepian melanda…
Hilangnya bicara menjadi  tanya
Di dalam bait-bait puisi
Melepaskan sengsara rindu...

*TERLERAI SEBUAH KEMESRAAN*

Daun-daun harapan semalam
Gugur bertaburan
Meranapkan sebuah janji
Meruntuhkan kota cinta
Serpihan-serpihan cinta
Berkecai menimpa hati
Yang kian lara
Dan memusnahkan satu impian
Yang telah terbina
Antara dua hati.

Apabila bicara
Menjadi dusta
Kata-kata di sebalik senyuman
Hanyalah menjadi mainan
Engkau berselindung
Di sebalik kemesraan
Sekadar menyembunyikan
Sebuah kepuraan
Tiada lagi kebahagiaan
Yang menjemput kita
Hanyalah perpisahan…

*SERIBU PERSOALAN*

Sewaktu dulu…
Kita pernah mengukir janji
Memahat kata setia
Agar tidak terbenam
Ditelan zaman.

Setelah sekian lama
Kita melewati batas waktu
Kemesraan kita…
Hampir diragut musnah
Ikatan cinta…
Di ambang pintu retak
Janji setia…
Seakan lenyap dan pudar

Di persimpangan jalan
Aku bergelut dengan dilema
Diselaputi seribu persoalan
Hatiku semakin digayuti resah
Di wajahmu kulihat
Terpamer senyum duka
Di matamu kurenung
Tiada lagi sinar bahagia

Mampukah kita…
Terus menggantung harapan
Menggarap impian
Jika dihati…
Kasih sudah terlerai
Sayang sudah berkecai…

*TERIMA KASIH SEGALANYA*

Terima kasih aduhai teman…
Kerana sudi membenih cinta
Melamar kemanisan bahagia
Walau samar kejituannya.

Terima kasih wahai teman…
Tatkala diri di kamar gelita
Kauhadir membawa cahaya
Walau tak pasti gemerlap sinarnya.

Terima kasih segalanya teman…
Kerana pernah menabur budi
Menyemai kasih di taman hati
Menanam rindu di batas hari
Walau ianya berakhir sepi.

Maafkan aku wahai teman…
Walau biduk berlalu pergi
Tak mungkin kiambang…
Bertaut kembali…